GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


PINTU sempadan negara hanya dibenarkan dibuka kepada orang ramai untuk kes tertentu selain perlu dirujuk kepada pihak kedutaan terlebih dahulu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, terdapat pergerakan pulang rakyat Malaysia yang berada di Thailand dan juga sebaliknya sejak dua hari lalu.

“Kira-kira 80 rakyat Malaysia yang berada di Thailand pulang ke negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam secara berperingkat.

“Manakala hari ini, terdapat kumpulan rakyat Thailand yang berada di Perak akan pulang ke negara mereka melalui ICQS Wang Kelian, Perlis.

“Mereka sudah dirujuk kepada Kedutaan Thailand di Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga dimaklumkan mengenai perkara itu bagi membolehkan mereka melalui ICQS.

“Begitu juga rakyat Malaysia yang berada di Thailand, mereka sudah dirujuk kepada kedutaan Malaysia di sana sebelum dibenarkan pulang ke sini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun difahamkan, kebenaran itu hanya tertakluk kepada laluan darat sahaja.

Zuhair berkata, sehingga kini kenderaan perdagangan berat yang membawa makanan dan barangan keperluan lain seperti ubat-ubatan masih dibenarkan melalui ICQS.

Isnin lalu, semua pintu sempadan darat dan air antara Malaysia dan Thailand ditutup sementara kepada orang ramai.

Ia berikutan langkah kerajaan Thailand melarang semua warganya dan warga asing keluar atau masuk ke negara itu kecuali melalui laluan udara.

Difahamkan, penutupan pintu sempadan turut dilakukan Thailand membabitkan negara jiran seperti Laos, Kemboja dan Myanmar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 6:17 PM