Norsyazwani Nasri


Kuching: Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup masuk lapan guni ikan patin dan tapah bernilai RM 10,000 dari Indonesia ke Sarawak digagalkan Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu.

Komander PGA Sarawak SAC Mancha Ata berkata, pada jam 6.30 pagi semalam anggota petugas Op Benteng Covid -19 sedang membuat rondaan di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) di Jalan Enswang, Lubok Antu.

"Mereka telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang datang dari arah persempadanan Indonesia.

"Hasil pemeriksaan terdapat dua lelaki warga tempatan cuba menyeludup masuk ikan jenis patin dan tapah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mancha berkata turut dirampas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM 50,000 yang digunakan suspek.

"Laporan polis telah dibuat dan suspek telah ditangkap bersama barangan.

"Rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 12:59 PM