KEADAAN sebuah gudang yang menyimpan dan memproses sarung tangan getah di Penaga, Kepala Batas dipecah masuk individu tidak dikenali. FOTO ihsan PDRM
KEADAAN sebuah gudang yang menyimpan dan memproses sarung tangan getah di Penaga, Kepala Batas dipecah masuk individu tidak dikenali. FOTO ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Pemilik sebuah gudang kerugian RM250,000 apabila 10 tan sarung tangan getah yang disimpan di dalam stor di Penaga, dekat sini, dilarikan individu tidak dikenali.

Insiden disedari pemilik premis berusia 39 tahun pada 9.30 pagi kelmarin apabila mendapati beberapa cermin tingkap dan pintu stor berada dalam keadaan terbuka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemilik itu kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati 10 tan sarung tangan getah yang dibeli daripada pengilang secara pukal sudah tiada.

"Mangsa turut memaklumkan sarung tangan getah itu sudah diasingkan dan dipek dalam plastik untuk dijual kepada pembeli.

"Setiap satu tan sarung tangan itu dibeli pada harga RM25,000 menjadikan kerugian dialami mangsa adalah sebanyak RM250,000," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kejadian kecurian sarung tangan getah itu sudah dua kali berlaku di gudang berkenaan di mana kejadian pertama tidak dilaporkan kerana membabitkan kehilangan kuantiti kecil.

"Siasatan lanjut ke atas gudang berkenaan mendapati terdapat empat tingkap nako dan tiga batang besi dikopak, manakala pintu utama premis dalam keadaan terbuka.

"Suspek dipercayai keluar melalui pintu kecil di bahagian belakang premis di mana kunci mangga yang dipasang tidak ditemui di lokasi kejadian.

"Premis tiada pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) dan hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh anggota polis forensik berjaya menimbulkan kesan cap jari pada besi di tepi tingkap yang dipecahkan," katanya.

Noorzainy berkata, premis itu mempunyai lima pekerja dan beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu dari 9 pagi hingga 6 petang.

"Polis giat memburu suspek dan meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 3:56 PM