MOHD Arifin (empat kanan) pada program penyerahan bayaran zakat perniagaan daripada SEDCO dan Agrobank. FOTO ihsan Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah
MOHD Arifin (empat kanan) pada program penyerahan bayaran zakat perniagaan daripada SEDCO dan Agrobank. FOTO ihsan Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) membuka pusat hemodialisis di Wisma Muis, Sembulan, di sini, bagi membantu pesakit yang memerlukan perkhidmatan terbabit.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pembukaan pusat itu hasil sumbangan daripada pihak yang menunaikan zakat perniagaan dan zakat penggajian.

"Semua zakat yang kita terima, memang semuanya kita sampaikan, semuanya kita laksanakan dan semuanya kita berikan kepada asnaf.

"Saya fikir ini satu program yang sangat baik, kerana ia adalah untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan untuk kesihatan mereka," katanya.

Katanya, pusat hemodialisis terbabit diusahakan bersama dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan dinamakan Pusat Dialisis (MUIS-NKF).

Ia dilengkapi dengan 12 mesin hemodialisis yang berkemampuan untuk merawat sehingga 36 pesakit dan beroperasi setiap hari kecuali pada hari Ahad.

Katanya, ia terbuka kepada semua pesakit yang berdaftar di bawah Bahagian Zakat dan Fitrah, yang akan menanggung kos rawatan mereka, dan juga golongan yang terdaftar di bawah Kementerian Kesihatan dan PERKESO.

Arifin turut mengumumkan sebuah lagi pusat seumpama itu bakal dibuka di bangunan milik MUIS di Tebobon, Sepanggar, awal tahun hadapan.

"MUIS juga merancang untuk membuka pusat hemodialisis di daerah lain agar dapat membantu lebih ramai pesakit yang memerlukan perkhidmatan terbabit," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Pusat Zakat Sabah (PZS) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Agrobank dalam program penyerahan di Wisma Muis, semalam.

Arifin turut menyeru semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkaitan di Sabah yang belum menunaikan tanggungjawab untuk membayar zakat perniagaan dan zakat penggajian masing-masing.

Katanya, Pusat Zakat Sabah (PZS) mensasarkan untuk mengutip RM90 juta zakat perniagaan untuk tahun ini dan lebih RM40 juta bagi zakat penggajian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 11:50 AM