GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Haidya Syafira Amir


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpedaya sekiranya menerima panggilan telefon yang mendakwa pihaknya meminta sejumlah bayaran wang tunai bagi tujuan tertentu.

EAIC dalam kenyataan hari ini berkata, ia susulan beberapa aduan yang diterima EAIC daripada mangsa yang menerima panggilan palsu itu sejak kebelakangan ini.

Kenyataan itu turut meminta orang ramai mendapatkan pengesahan daripada EAIC sekiranya menerima panggilan meragukan.

"Orang ramai boleh mendapatkan pengesahan menerusi talian dan alamat yang dipaparkan di portal rasmi EAIC di www.eaic.gov.my.

"Kami telahpun mengambil tindakan dengan membuat laporan polis mengenai perkara ini," kata kenyataan itu.

EAIC berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat panggilan palsu ini bagi melindungi kepentingan orang awam serta menjaga reputasi EAIC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 4:22 PM