GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 182 individu ditahan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 181 individu dikompaun manakala seorang individu pula direman.

Antara kesalahannya membabitkan 66 kes kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, (60) tidak memakai pelitup muka, (46) gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan 10 bagi lain-lain.

"Pasukan operasi pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 49,592 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPB.

"Sebanyak 2,849 Pasukan Pematuhan membabitkan 12,766 anggota membuat pemantauan di 5,179 pasar raya, 4,667 restoran serta 1,285 penjaja, 1,249 kilang, 3,539 bank dan 620 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau 1,064 terminal pengangkutan darat, 266 terminal pengangkutan air serta 154 terminal pengangkutan udara," katanya pada kenyataan hari ini.

Sementara itu, menerusi Op Benteng, Ismail Sabri berkata, 31 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) ditahan selain tiga kenderaan darat dan sebuah bot dirampas.

Orang ramai diminta menghubungi talian National Task Force (NTF) di 011 6251 1223 untuk menyalurkan maklumat berkaitan warga asing dan jenayah rentas sempadan.

Mengulas berhubung kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga 7 Disember lalu, 83,737 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

"Semuanya ditempatkan di 76 Hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

"Daripada jumlah itu, 12,097 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 509 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 71,131 individu dibenarkan pulang," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 5:11 PM