KAWASAN jeti Pulau Tiga. FOTO arkib NSTP
KAWASAN jeti Pulau Tiga. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan membina pos kawalan di Pulau Tiga, dekat Kuala Penyu, sebagai usaha memantau keselamatan pelancong dan khazanah marin di pulau berkenaan.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, Pulau Tiga sering berdepan dengan masalah pencerobohan oleh nelayan tempatan dan asing, selain penggunaan bom ikan yang menjadi ancaman kepada hidupan marin.

"Selain itu, terdapat pemandu pelancong tidak berlesen atau juragan bot pelancong tidak memiliki kad pelaut. Bagaimanapun, tiada tindakan dapat diambil kerana lokasi pangkalan pasukan keselamatan seperti Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terdekat adalah di Labuan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Jafry mengadakan lawatan kerja ke Pulau Tiga bersama Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Marklarin Lakim dan Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman, hari ini.

Jafry berkata, TTS mempunyai banyak perancangan pembangunan untuk Pulau Tiga termasuk membina galeri, pusat penyelidikan dan pendidikan serta pembinaan pelantar dan pemerhatian burung di lagun pulau berkenaan.

Beliau berkata, Pulau Tiga turut terkenal dengan gelaran 'Survivor Island' selepas menjadi lokasi penggambaran rancangan realiti antarabangsa, Survivor.

Katanya, ia adalah gabungan tiga pulau iaitu Pulau Tiga, Kalampunian Besar dan Kalampunian Damit di Teluk Brunei dan antara aktiviti popular adalah menyelam dan mandi lumpur daripada muntahan lumpur gunung berapi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 7:23 PM