POLIS menjalankan pemeriksaan di unit kondominium berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
POLIS menjalankan pemeriksaan di unit kondominium berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dengan menjadikan sebuah kondominium di Taman Sri Sentosa, di sini, sebagai pusat panggilan dengan penahanan lima orang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, serbuan jam 6.50 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seramai tiga lelaki dan dua wanita warga China berusia 17 hingga 43 tahun disyaki sedang menjalankan kegiatan perjudian atas talian.

"Hasil analisis ke atas komputer itu mendapati terdapat unsur-unsur yang boleh disyaki berkaitan perjudian dalam talian.

"Polis juga merampas lapan komputer riba, set komputer, 42 telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit modem D-Link, Router, dua unit Unifi, dan peralatan lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anuar berkata, mereka dipercayai baru sebulan menjalankan kegiatan itu.

"Kes disiasat Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Ini kejayaan kali ketiga menahan warga China yang terbabit dalam kegiatan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 8:36 AM