TIGA lelaki yang mencuri pokok bonsai ditahan dalam serbuan di Paya Keladi, Kepala Batas. FOTO Ihsan Polis
TIGA lelaki yang mencuri pokok bonsai ditahan dalam serbuan di Paya Keladi, Kepala Batas. FOTO Ihsan Polis
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Usaha seorang lelaki menjejaki pokok bonsai miliknya yang hilang dengan memeriksa iklan penjualan pokok hiasan berkenaan di laman sosial Facebook membuahkan hasil sehingga menyebabkan penahanan tiga pencuri itu dalam satu serbuan di Paya Keladi, di sini, petang semalam.

Tiga lelaki masing-masing berusia 18, 22 dan 36 tahun itu ditahan pada 3.30 petang bersama pokok bonsai yang dicuri mereka dengan anggaran harga pasaran bernilai kira-kira RM800.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima laporan daripada lelaki berusia 45 tahun memaklumkan pokok bonsai jenis Adenium bersama pasu miliknya yang diletakkan di luar pagar rumah di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua, Butterworth dicuri individu tidak dikenali.

Katanya, kejadian itu disedari Ahad lalu kira-kira 8 pagi ketika lelaki itu keluar dari rumah sebelum mendapati pokok bonsai miliknya tertulis angka '1-5' yang dibeli Mei lalu itu sudah tiada.

"Mangsa kemudian mencari pokok bonsai itu di kedai menjual pokok bunga kerana mengecam pokok miliknya namun gagal, tetapi ketika mangsa melayari Facebook kelmarin mangsa terjumpa iklan penjualan pokok sama yang hilang lalu melaporkan kepada polis.

"Bertindak atas laporan yang dibuat mangsa itu, polis berjaya menahan tiga lelaki bersama pokok bonsai yang dicuri," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, hasil pengecaman yang dijalankan mangsa mendapati pokok bonsai miliknya.

"Modus operandi yang digunakan suspek adalah mencuri kemudian menjual dengan mengiklankan di Facebook.

"Semakan yang dijalankan ke atas tiga suspek mendapati mereka ada rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencing menunjukkan mereka positif dadah, bahkan tujuan mereka mencuri pokok itu juga adalah untuk membeli bekalan dadah," katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, soal siasat yang dijalankan ke atas suspek turut membawa kepada penahanan empat lagi lelaki bersama sejumlah dadah di kawasan Tasek Gelugor.

"Tiga suspek yang mencuri pokok direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan manakala tangkapan membabitkan dadah pula disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 10:05 PM