GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Seorang wanita warga emas ditemukan maut di tengah jalan di Jalan Kampung Kedah, Kampung Kuantan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, wanita berusia 79 tahun itu ditemukan seorang lelaki yang kemudiannya menghubungi talian kecemasan.

"Pada 8.11 malam tadi, lelaki terbabit memaklumkan terjumpa mangsa yang terbaring di tengah jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri selain mengalami kecederaan di kepala.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa dikenal pasti sebagai penduduk tempatan dan menghidap penyakit kencing manis kronik. Lokasi mangsa ditemui kira-kira 80 meter dari rumahnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dompet mangsa yang mengandungi wang tunai tidak hilang.

Katanya, mangsa yang menetap bersama anak dan menantunya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pergi ke rumah jirannya.

"Forensik polis menjalankan pemeriksaan awal ke atas mangsa dan mendapati terdapat luka di kepala yang menyebabkan pendarahan.

"Bedah siasat akan dijalankan esok hari di Hospital Sungai Buloh setelah keputusan saringan Covid-19 diperoleh bagi mendapatkan punca kematian," katanya.

Sehubungan itu, Ramli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Asisten Superintendan Mohd Sufian Amin di talian 012-6149580.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 12:28 AM