Samadi Ahmad

Putrajaya: Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan menjalankan siasatan susulan peningkatan pembelian alat permainan seks dan hasil tembakau melalui dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Presidenya, Jufitri Joha berkata, lebih mengejutkan pihaknya apabila alat permainan seks dan rokok ini bukan sahaja membabitkan peniaga kecil-kecilan, malah turut dipasarkan di platform e-dagang terkemuka antarabangsa.

Katanya, lambakan promosi hasil tembakau dan alat permainan seks dalam talian ini seolah-olah tidak terkawal dan boleh menimbulkan peningkatan masalah gejala sosial termasuk jenayah seksual membabitkan golongan remaja dan kanak -kanak.

"MBM menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara ini termasuk menyekat syarikat dalam talian yang memasarkan produk berkenaan," katanya selepas menyerahkan memorandum Tindakan Penguatkuasaan Larangan Promosi Dan Penjualan Produk Tembakau Dan Alat Permainan Seks Dalam Talian kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini,tadi.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Memorandum diserahkan kepada Ketua Komunikasi Korporat KPDNHEP, Yunus Tasim.

Turut hadir, Ketua Aktivis MBM, Fahmi Baharuddin Ashrof dan Setiausaha MBM, Hasnul Haniff.

Jufitri berkata, MBM turut menyerahkan dua lagi memorandum kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mengambil tindakan kepada pihak yang terbabit.

Katanya, menurut kajian MBM, rakyat memilih pembelian dalam talian bagi produk berkenaan kerana ia mudah diperolehi secara terus dari luar negara.

"Syarikat pengeluar produk terlarang ini semakin berani mempromosikan produk mereka dan sekiranya tiada tindakan diambil pihak berkuasa, ia akan memudaratkan rakyat di negara ini, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 3:09 PM