IVANA Esther Robert Smit maut selepas jatuh daripada unit kondominium di CapSquare Residences.
IVANA Esther Robert Smit maut selepas jatuh daripada unit kondominium di CapSquare Residences.
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Ibu kepada model warga Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit, mengemukakan saman terhadap Ketua Polis Negara dan tiga yang lain kerana didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab dan cuai ketika menjalankan siasatan kematian anak perempuannya.

Christina Caroline Gerarda Johanna Verstappen, 56, yang memfailkan saman itu kelmarin, di Mahkamah Tinggi di sini, melalui Tetuan S N Nair & Partners turut memohon perintah supaya jawatankuasa petugas khas baharu ditubuhkan bagi menjalankan siasatan yang dibuka semula.

Verstappen mendakwa, keputusan siasatan kematian anak perempuannya dibuat secara tergesa-gesa tanpa siasatan menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek termasuk laporan bedah siasat dan laporan kimia, selain melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan amalan polis.

Beliau yang bertindak selaku plaintif, menamakan Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Pada 8 Mac tahun lalu, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Smit, yang jatuh daripada unit kondominium di CapSquare Residences di sini, tiga tahun lalu, disebabkan 'misadventure' (kematian disebabkan oleh tindakan seseorang akibat kemalangan tanpa sebarang kecuaian atau niat untuk mencederakan).

Koroner yang mendengar inkues bagi menentukan punca sebenar kematian Smit mendapati, tiada siapa terbabit secara jenayah dalam kematian model berusia 18 tahun itu.

Verstappen bagaimanapun merayu dapatan itu dan Mahkamah Tinggi pada 22 November tahun lalu, mengetepikan dapatan inkues dengan memutuskan bahawa punca kematian disebabkan oleh tindakan seorang atau lebih yang dikenali atau tidak dikenali (oleh mangsa).

Mahkamah Tinggi turut memerintahkan Pejabat Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat punca kematian Smit.

Berikutan itu, Verstappen dalam tuntutan samannya memohon perisytiharan bahawa semua defendan gagal melaksanakan tanggungjawab dan menghina mahkamah kerana tidak melaksanakan arahan Mahkamah Tinggi.

Beliau turut memohon perintah supaya Ketua Polis Negara mengeluarkan Faizal daripada pasukan petugas khas baharu dan PDRM melaporkan perkembangan siasatan kepada mahkamah, peguam atau kepadanya sendiri dari masa ke semasa.

Selain itu, plaintif memohon perintah supaya PDRM dan Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan waran tangkap terhadap Alexander William Johnson dan Lunara Almazkyzy, iaitu pasangan terakhir bersama Smit ketika kejadian dengan mengekstradisi mereka bagi membantu siasatan sehingga kes selesai.

Turut dipohon ialah ganti rugi am, teruk dan teladan serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 6:33 PM