Ivana Esther Robert Smit
Ivana Esther Robert Smit
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membatalkan saman yang difailkan ibu mendiang Ivana Esther Robert Smit terhadap polis, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia yang didakwa melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian model Belanda itu.

Peguam Datuk S N Nair yang mewakili Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu ketika prosiding pengurusan kes berkenaan yang berlangsung secara dalam talian.

"Hakim itu, tanpa sebarang permohonan daripada defendan, membatalkan saman plaintif atas alasan penyataan tuntutan tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Kami akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini," katanya.

Verstappen, 57, memfailkan saman itu pada 20 November lalu dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi Asisten Superintendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, Verstappen berkata, anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini, pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Beliau dimaklumkan mengenai kematian anaknya pada atau sekitar petang 7 Disember 2017 dan berlepas ke Kuala Lumpur dari Belanda untuk mengesahkan serta menyiasat kejadian itu.

Sejurus tiba di Malaysia pada 9 Disember 2017, defendan memintanya mengenal pasti mayat anaknya di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau turut dimaklumkan defendan dan seseorang bernama Sarjan Haliza (pegawai penyiasat pertama) jasad mangsa ditemukan dalam keadaan bogel di balkoni tingkat enam kondominium itu dan bahawa anaknya membunuh diri.

Defendan membuka kertas siasatan di bawah laporan kematian mengejut (SDR) pada 7 Disember 2017 dan menutup kes itu selepas merumuskannya sebagai mati mengejut atau bunuh diri.

Beliau tidak boleh menerima rumusan itu kerana perkara berkenaan amat sukar dipercayai dan terkejut dengan tindakan defendan yang hanya membuka kertas siasatan di bawah SDR, oleh itu mendakwa tindakan defendan adalah perlanggaran jelas prosedur operasi standard (SOP) dan amalan terbaik dalam siasatan polis.

Beliau juga berkata Jabatan Peguam Negara kemudiannya mengarahkan agar satu inkues diadakan bagi menentukan punca kematian anaknya dan pada 8 Mac 2019, Koroner Mahyon Talib memutuskan kes itu sebagai satu 'insiden malang.'

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 November 2019, Hakim Collin Lawrence Sequerah mengenepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan 'kematian yang disebabkan oleh seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali' dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan.

Beliau mendakwa defendan gagal atau cuai dalam menjalankan kewajipan statutori mereka secara sengaja atau sebaliknyadan melanggar kewajipan statutori mereka terhadap mangsa serta plaintif.

Verstappen mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 9:41 PM