GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dipertingkatkan, susulan insiden menimpa seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang maut ditembak ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, turut mengingatkan anggota dan agensi yang bertugas di sempadan supaya berhati-hati ketika bertugas.

"Alhamdulillah, kawalan sempadan di Kelantan dapat dikawal dan agensi di sempadan turut memberi kerjasama dalam menangani sebarang perkara.

"Kita juga sentiasa mengingatkan mereka yang bertugas supaya berhati-hati dan mengambil insiden dengan apa yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKNK) di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Koperal Norihan Tari, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 4:35 PM