PENDUDUK Taman Koperasi Kuala Ibai (TKKI) terpaksa menggunakan pam bagi menyedut air yang bertakung di kawasan TKKI setiap kali berlaku banjir kilat. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
PENDUDUK Taman Koperasi Kuala Ibai (TKKI) terpaksa menggunakan pam bagi menyedut air yang bertakung di kawasan TKKI setiap kali berlaku banjir kilat. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Lebih 20 tahun penduduk di Taman Koperasi Kuala Ibai (TKKI) di sini, terpaksa berhadapan dengan masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Keadaan lebih buruk ketika sepanjang musim monsun timur laut iaitu bermula November sehingga Februari, susulan sistem perparitan tidak menepati piawaian ditetapkan, selain tidak diuruskan dengan baik.

Penduduk, Raja Salim Raji Ali, 67, berkata, kebanyakan penduduk di taman itu sudah tidak tahan berdepan masalah sama setiap tahun.

"Sejak tinggal di sini hingga sekarang masalah banjir kilat berlaku saban tahun dan kami sudah tidak mampu berdepan masalah ini.

"Pelbagai pihak yang sudah dirujuk dan diajukan berkaitan masalah berkenaan, terbaru ia dibawa ke Mesyuarat Pelan Tindakan Daerah tahun lalu tetapi tetap tiada jalan penyelesaian," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, pihak yang terbabit ada membina longkang, tetapi tiada laluan air ke longkang utama menyebabkan air bertakung, dan membanjiri kawasan rumah.

Katanya, air akan bertakung di dalam rumah selagi tidak disedut keluar menggunakan pam air.

"Kami sudah penat, maklumlah masing-masing sudah tua. Jika tidak sedut air menggunakan pam, air hujan yang masuk ke dalam rumah akan kekal dalam tempoh beberapa hari.

"Jika diikutkan hati, kami ingin berpindah, tetapi apa boleh buat rumah inilah rumah kami.

"Kami berharap pihak bertanggungjawab prihatin terhadap masalah dihadapi kami," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Izham Ahmad, 35, berkata, tahun ini sahaja taman itu sudah tiga kali dilanda banjir kilat.

"Saya baru dua tahun menyewa di sini, dan terpaksa berdepan masalah banjir kilat setiap tahun.

"Banjir kilat di tempat lain biasanya cepat surut, namun di taman ini air bertakung lama menyebabkan penduduk bergotong-royong menyedut menggunakan pam," katanya.

Katanya, mereka juga sentiasa berjaga-jaga setiap kali tiba monsun Timur Laut kerana dikhuatiri rumah dilanda banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 3:47 PM