KETUA Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai menunjukkan mayat mangsa yang ditemui di koridor luar Blok B PPR Taman Intan Baiduri, Kuala Lumpur, hari ini.
KETUA Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai menunjukkan mayat mangsa yang ditemui di koridor luar Blok B PPR Taman Intan Baiduri, Kuala Lumpur, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang pekerja pemasangan khemah mati ditetak di kepala di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki warga tempatan berusia 21 tahun itu dikatakan datang ke PPR berkenaan bersama rakannya untuk memasang khemah kira-kira jam 8 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai ke Blok E PPR berkenaan untuk membeli makanan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dipercayai rebah di koridor luar Blok B sebelum ditemui orang awam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan kejadian itu dipercayai membabitkan dua suspek menaiki motosikal.

"Salah seorang daripada suspek dikatakan turun dari motosikal dan terus menetak mangsa di tepi jalan Blok E PPR berkenaan," katanya.

Eng Lai berkata, susulan itu, pihaknya menahan seorang penganggur berusia 25 tahun yang juga penghuni PPR berkenaan bagi membantu siasatan.

"Setakat ini, kami belum menemui senjata yang digunakan dalam kejadian ini," katanya yang memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan saksi yang melihat kejadian itu untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 2:14 PM