Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terbabit dalam insiden tembakan ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand semalam tidak memakai baju kalis peluru kerana mereka dalam tugas risikan dan penyamaran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, mengikut prosedur operasi standard (SOP) semua anggota keselamatan yang bertugas ketika rondaan dikehendaki memakai baju kalis peluru.

"Cuma pada ketika ini mereka berdua adalah anggota risikan dan sedang dalam tugas membuat risikan 'undercover'.

"Disebabkan itu mereka tidak memakai baju kalis peluru berkenaan," katanya pada sidang media media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Perak dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Perak di Mes Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini hari ini.

Acryl Sani berkata, ketika ini pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh mengenai insiden itu.

"Kita masih lagi menyiasat apakah latar belakang kes ini sama ada mereka ini diserang hendap atau seumpamanya," katanya.

Ditanya mengapa kedua-dua anggota hanya dibekalkan senjata Walter P99 sahaja ketika kejadian, beliau berkata:

"Ini kerana mereka dalam tugas risikan, kalau semasa rondaan keselamatan memang anggota perlu memakai pakaian seragam dan segala kelengkapan (termasuk baju kalis peluru) tetapi ketika membuat risikan kita tidak dapat berbuat demikian," katanya

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, selepas insiden tembakan pertama pada April lalu Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) sudah melakukan kajian bagi meneliti semula SOP yang sedang berkuat kuasa ketika ini.

"Kita sedang melihat adakah perlu SOP ditambah baik atau diperketatkan bagi memastikan SOP yang digunakan dalam tugas rondaan, risikan, pencegahan dan seumpamanya dapat diperkemaskan bagi keselamatan pegawai dan anggota yang bertugas, orang awam dan perkara berkaitan dengannya," katanya.

Semalam NSTP melaporkan Seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, maut akibat ditembak.

Dalam kejadian 3.10 pagi itu, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.

Terdahulu pada majlis hari ini, Acryl Sani menyaksikan majlis menandatangani serah terima tugas Ketua Polis Perak baharu, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai.

Berita berkaitan

Koperal Baharuddin selamat dikebumikan

3 lelaki Thailand, 15 tempatan direman

PGA ditembak: Mendiang mahu baiki rumah

2 das tembakan di perut, dada Koperal Baharuddin

PGA ditembak: 'Tak sangka itu gurauan terakhir mendiang'

''Mendiang abang cekal, sangat berani'''

'PGA ditembak: Mendiang dibawa ke Bahau selepas selesai bedah siasat''

'Pemergian Baharuddin kehilangan besar buat negara''

Anggota VAT69 pantau lokasi serangan - KPN'

Anggota PGA maut diserang: KDN arah siasatan menyeluruh'

Ketua Polis Negara sahkan anggota PGA maut ditembak'

'Sindiket penyeludupan dipercayai serang anggota PGA'

'Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 1:43 PM
Anggota PGA, Judin Awi meninjau tempat kejadian  seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang maut akibat ditembak  oleh penyeludup yang dipercayai warganegara Thailand berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand. FOTO AMRAN HAMID
Anggota PGA, Judin Awi meninjau tempat kejadian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang maut akibat ditembak oleh penyeludup yang dipercayai warganegara Thailand berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand. FOTO AMRAN HAMID