ADIB Aiman (kanan) bersama Afif Aiman menunjukkan dua kerbau kesayangan masing-masing seberat 1,000 kilogram yang diternak sejak tujuh tahun lalu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ADIB Aiman (kanan) bersama Afif Aiman menunjukkan dua kerbau kesayangan masing-masing seberat 1,000 kilogram yang diternak sejak tujuh tahun lalu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Hulu Terengganu: "Dua kerbau itu saya bela sejak tujuh tahun lalu dan tidak akan menjualnya walaupun berapa harga ditawarkan," kata Adib Aiman Nordin.

Adib, 20 dari Kuala Berang berkata, dia menternak dua kerbau masing-masing seberat satu tan atau 1,000 kilogram itu bersama abangnya, Afif Aiman Nordin, 22.

"Kami beli kerbau itu ketika ia berusia setahun dan menjaganya seperti ahli keluarga sendiri.

"Bukan senang untuk bertahan selama tujuh tahun membela dua kerbau yang dipanggil Awang dan Putih itu.

"Sekarang dua kerbau jantan itu dijadikan pembaka utama di kandang," katanya ketika ditemui di kandang kerbaunya di Kampung Buluh, Kuala Berang, hari ini.

Katanya, ramai penternak yang menghubunginya dan datang ke kandang semata-mata untuk melihat dan membeli dua kerbau itu sejak ia tular di TikTok dan media sosial.

"Buat masa sekarang mustahil untuk kami menjual dua kerbau itu walaupun pernah peminatnya menawarkan harga lebih RM20,000 seekor.

"Putih dan Awang menjadi teman bermain ketika masa lapang, kedua-duanya jinak dan boleh ditunggang seperti kuda menyebabkan ia lain daripada lain," katanya.

Tambahnya, dia juga mempunyai lima kerbau lain dan 10 lembu yang diternak di kandang sama.

"Dua ekor kerbau itu menjadi penyeri kandang, kerana kerbau itu saya dan abang sentiasa bersemangat untuk menjalankan rutin harian seperti menjaga dan menguruskan semua ternakan.

"Kerbau itu diberi makan, dua kali sehari. Dedak haiwan, dedak padi, rumput jeruk dan rumput segar ialah menu harian Putih dan Awang," katanya.

Sementara itu, Afif berkata, ramai yang bertanya mengenai tips Putih dan Awang menjadi gemuk setiap kali melihat kerbau itu.

"Sebenarnya untuk memastikan kerbau gemuk dan besar seperti itu bukan bergantung kepada makanan sahaja tetapi faktor persekitaran yang bersih dan sesuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 9:49 AM