KAWASAN Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi dipasang kawat duri berikutan pelaksanaan PKPD. FOTO Bernama
KAWASAN Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi dipasang kawat duri berikutan pelaksanaan PKPD. FOTO Bernama
Samadi Ahmad


Sepang: Seramai 13 penghuni yang melarikan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88 di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, berjaya dikesan semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis menerima maklumat daripada ahli keluarga dan rakan serumah serta mengarahkan mereka pulang membuat ujian saringan Covid-19.

Wan Kamarul berkata, setakat jam 9 malam, seramai sembilan warga asing dan empat penduduk berasal Sabah pulang ke kediaman masing-masing.

Menurutnya, enam warga asing itu bekerja sebagai pembantu di kedai hardware terdiri daripada lima warga Indonesia dan seorang Myanmar.

Katanya, tiga warga Thailand turut pulang ke rumah bagi menjalani ujian saringan.

"Polis akan mempertingkatkan usaha bagi mengesan penghuni yang hilang di samping mengharapkan bantuan orang ramai bagi menyalurkan bantuan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam media melaporkan seramai 400 penduduk Medan 88 tidak kembali ke rumah selepas polis mengepung kawasan premis perniagaan itu.

PKPD di kawasan itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula semalam hingga 25 November membabitkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan seramai 800 penduduk.

Sementara itu, pesara guru, Amir Adli, 62, berkata, kehilangan 400 penghuni yang sepatutnya menjalani ujian Covid-19 itu membimbangkan penduduk setempat.

Menurutnya, penduduk merasa bimbang sekiranya penularan pendemik itu berkembang dan mewujudkan kluster baharu di kawasan itu.

Dia yang tinggal di Taman Mawar berkata, penduduk serta majikan yang melarikan penghuni Medan 88 itu perlu bertanggungjawab dan pada masa sama mengarahkan mereka menjalani ujian saringan.

Bagi suri rumah, Zalinda Mohd Kasim, 48, berkata, tindakan penduduk Medan 88 yang menghilangkan diri itu menimbulkan rasa panik dalam kalangan penduduk.

"Saya harap penduduk yang hilang itu segera pulang dan menjalani ujian saringan demi keselamatan orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 11:20 AM