GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Seorang lelaki warga emas di Kerdau, Temerloh kerugian RM29,550 apabila wang simpanan selama beberapa tahun lesap ditipu sindiket penipuan dalam talian atau Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai kanan polis dan kakitangan Pos Laju.

Mangsa berusia 76 tahun diperdaya melalui panggilan telefon mendakwa namanya terbabit dengan pengubahan wang haram dan mangsa akan ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada Ahad lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri daripada syarikat Pos Laju.

"Suspek mendakwa terdapat bungkusan tidak dituntut atas nama warga emas itu. Suspek kemudian menyambung panggilan itu kepada polis dan mangsa bercakap dengan 'ASP Mokhtar.'

"Suspek kedua bertanyakan kepada mangsa mengenai wang simpanannya dan jika warga emas itu tidak memberi kerjasama, akaun mangsa akan dibekukan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek meminta mangsa memasukkan wang dari akaun simpanannya ke dalam satu akaun lain kononnya untuk tujuan siasatan.

Menurutnya, suspek turut mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan akan ditahan polis tidak lama lagi.

"Berikutan itu, mangsa mengeluarkan semua wang daripada akaunnya dan memasukkan ke dalam satu akaun yang diberikan suspek.

"Suspek meminta mangsa supaya tidak menceritakan perkara ini kepada orang lain dan memaklumkan wang berkenaan akan dikembalikan semula selepas ini," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan wang diberikan kepada suspek adalah RM29,550 dan sehingga kini mangsa masih belum menerima semula wangnya.

Menurutnya, berikutan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan kes siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan modus operandi digunakan suspek dan siasatan lanjut diteruskan untuk mengesan penjenayah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 3:59 PM