GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang bermula 9 November sehingga 6 Disember ini diputuskan kerana pendekatan lebih tegas dan berani mesti diambil sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peningkatan bilangan kes baharu jangkitan Covid-19 mendatangkan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan rakyat dan negara tidak lagi boleh terus kekal di dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sehubungan itu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang.

"Selain PKPB ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lokaliti tertentu, yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi," katanya dalam catatan di laman Facebooknya, hari ini.

Muhyiddin berkata, sekatan perjalanan merentas negeri juga akan dilaksanakan, bagi mengurangkan pergerakan orang ramai dan aktiviti sosial sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut membuat pembentangan mengenai Pelan Persiapan Covid-19 bagi negeri itu, dalam Sidang Khas MKN.

Menerusi pembentangan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan Sarawak membuat permohonan bagi menambah bilangan katil di unit rawatan rapi (ICU), dan meningkatkan kapasiti makmal ujian saringan pengesanan Covid-19 di tujuh hospital kerajaan di negeri itu.

Perdana Menteri turut meminta supaya kerajaan negeri berkenaan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan (KKM), bagi meneliti keperluan itu dan diberikan pertimbangan sewajarnya.

Beliau turut berharap kesemua pendekatan yang diputuskan ini, akan membantu menurunkan kes baharu jangkitan Covid-19 ke tahap paling rendah, bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 9:26 PM