Sri Kartika Ayu Amri dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu yang dilaporkan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Softword LD yang dilaporkan di Lahad Datu, Sabah.

"Kes indeks kluster ini dikenal pasti melalui hasil saringan individu bergejala pada 30 Oktober lalu, dan saringan kontak rapat mengenal pasti 13 lagi kes positif.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 109 individu disaring dengan 14 kes positif dan 95 individu masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster kedua adalah Kluster Teratai yang dilaporkan di Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat, Selangor.

"Kes indeks bagi kluster ini adalah hasil saringan individu bergejala pada 2 November lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat dilakukan mendapati 73 lagi kes positif dan sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 101 individu disaring dengan 74 kes dikesan positif, manakala 17 individu negatif dan 10 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Tapak Bina Damanlela yang dilaporkan di Lembah Pantai, Kepong dan Titiwangsa, di sini, dengan kes indeks dikenal pasti positif melalui hasil saringan tahanan pada 6 November lalu.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti 14 lagi kes positif yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 292 individu disaring dengan 15 kes dikesan positif, manakala 269 individu negatif dan lapan individu masih menunggu keputusan.

"Kluster keempat iaitu Kluster Mahkota pula dilaporkan di Hulu Langat, Selangor, Kepong dan Titiwangsa, Kuala Lumpur serta Sibu, Sarawak selain Putrajaya dengan kes indeks bagi kluster ini adalah hasil saringan kontak rapat pada 30 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat mendapati lapan lagi kes positif bagi kluster ini. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 56 individu disaring dengan sembilan kes dikesan positif, 28 individu negatif dan 19 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan satu kluster iaitu Kluster Bah Puchong yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak diisytiharkan tamat, hari ini.

"Sehingga hari ini, seramai 88 individu disaring bagi kluster ini dengan 14 kes dikesan positif, manakala 74 individu lagi negatif.

"Kadar positif bagi kluster ini adalah 15.91 peratus dan tiada kematian dilaporkan dalam kluster ini," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 7:16 PM