Bakri Sawir menghulurkan sumbangan kepada Hairani Mahmud ketika program lawatan ziarah kasih ke rumahnya di Kampung Batu Serambai. FOTO ABNOR HAMIZAM
Bakri Sawir menghulurkan sumbangan kepada Hairani Mahmud ketika program lawatan ziarah kasih ke rumahnya di Kampung Batu Serambai. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: "Saya berdoa sentiasa diberi kesihatan untuk menjaga kakak yang tidak boleh berjalan selepas kaki kirinya dipotong akibat penyakit kencing manis sejak tiga tahun lalu," kata Hamzah Mahmud, 62, adik kepada Hairani, 73, yang menetap di Kampung Batu Serambai, di sini.

Menurutnya, empat jari kaki kanan kakaknya juga sudah dipotong akibat penyakit berkenaan sehingga menyebabkan kakak hanya mampu duduk dan berbaring diatas katil.

Hamzah yang masih bujang memberitahu tidak kisah menjaga kakaknya termasuk menyediakan makan minum dan menjaga kebersihan diri Hairani.

Katanya, mereka mampu hidup sederhana berbekalkan duit pencen bulanan diterima sebanyak RM600 dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) kakaknya berjumlah RM350.

"Saya juga bertanggungjawab menghantar kakak ke Hospital Jelebu bagi mendapatkan rawatan.

"Ketika zaman kanak-kanak, hubungan kami adik-beradik sangat akrab. Kerana itu saya sanggup berkorban untuk kakak, "katanya ketika menerima lawatan ziarah kasih Ahli Dewan Undangan Negeri ( DUN) Bakri Sawir, tadi.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung ( MPKK ) Kampung Batu Serambai Nazri Sidek.

Hamzah berkata, dia juga berharap permohonan bagi mendapatkan kerusi roda baharu untuk kakaknya diluluskan ADUN Klawang berikutan kerusi roda sedia ada sudah rosak.

Bakri ketika lawatan berkenaan turut menyerahkan sumbangan keperluan makanan kepada dua beradik terbabit.

Sementara itu Hairani berkata, dia terharu kerana adiknya sanggup menjaga dirinya termasuk menguruskan kebersihan dirinya.

Katanya dia pernah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak manakala suaminya sudah lama meninggal dunia namun bersyukur kerana adiknya itu sudi menjaganya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 5:51 PM