FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan dua anggota polis mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan 'habeas corpus' (penahanan salah) terhadap mereka mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Peguam Jacky Loi yang bertindak mewakili Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai 'Addy Kana' dan Koperal Mohd Hairy Mohammad ketika dihubungi berkata pihaknya memfailkan notis rayuan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan dua hari lalu.

Seorang lagi perayu Koperal Muhammad Amin Nur Rashid Mohamed Puad yang diwakili peguam Shahrizal Abdul Manan memfailkan rayuan sama semalam.

Menurut Loi, pihaknya juga akan memfailkan notis perakuan segera esok bagi Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan berkenaan secepat mungkin.

Ketiga-tiga mereka kekal dalam tahanan reman selama 38 hari bermula 30 Oktober lalu sehingga 6 Disember in selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan 'habeas corpus' mereka Isnin lalu.

Mahkamah Majistret pada 14 Oktober lalu, membenarkan penahanan reman terhadap ketiga-tiga lelaki itu yang berumur 34 hingga 39 tahun ditahan mengikut POCA selama 21 hari.

Reman 21 hari itu sepatutnya berakhir semalam.

Bagaimanapun pada 30 Oktober lalu, Majistret M Mageswary melanjutkan tempoh tahanan reman selama 38 hari sehingga 6 Disember ini.

Dalam permohonan habeas corpus itu, kesemua pemohon menyatakan bahawa penahanan mereka selama 21 hari sehingga 3 Oktober lalu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur dan bersifat mala fide (berniat jahat).

Pemohon menyatakan bahawa perintah penangkapan dan penahanan adalah di luar ruang lingkup atau skop Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan tidak terpakai kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 7:58 PM