Bayi perempuan baru lahir ditemui dalam beg sandang yang diletakkan di atas peti surat di Flat Tingkat Paya Terubong 4. FOTO IHSAN POLIS
Bayi perempuan baru lahir ditemui dalam beg sandang yang diletakkan di atas peti surat di Flat Tingkat Paya Terubong 4. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Audrey Dermawan


Georgetown: Bayi perempuan baru lahir ditemui dalam beg sandang yang diletakkan di atas peti surat di Flat Tingkat Paya Terubong 4 di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sebelum itu seorang penduduk berusia 29 tahun menemui beg berkenaan pada 12.40 tengah hari.

Katanya, dia membuka beg itu dan terkejut apabila menemui bayi yang masih hidup.

"Bayi perempuan berkenaan dibalut dengan tuala putih dan pemeriksaan mendapati tali pusatnya sudah dipotong.

"Tiada barangan lain ditemui dalam beg," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Soffian berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi turut memeriksa bayi itu, namun tidak menemui sebarang kecederaan dan bayi dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menjejaki ibu bayi dan pihak bertanggungjawab yang meninggalkan mangsa.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil bagi membantu siasatan.

"Ketika ini tiada saksi mengaku melihat kejadian dan flat itu tidak mempunyai kamera litar tertutup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 6:54 PM