SOFFIAN. FOTO Arkib NSTP
SOFFIAN. FOTO Arkib NSTP
Audrey Dermawan

Georgetown: Polis daerah ini membuka 25 kertas siasatan berhubung kes pemerasan menggunakan panggilan video lucah dan langganan khidmat seks melalui media sosial sejak Januari hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, semua kes berkenaan membabitkan mangsa lelaki berusia antara 17 hingga 50 tahun dengan anggaran kerugian berjumlah RM150,000.

Menurutnya, sindiket menggunakan media sosial dalam menjalankan aktiviti mereka termasuk Facebook, Wechat, Michat, Line, Tinder dan platform lain.

"Terbaharu, sindiket didapati melakukan pemerasan menggunakan panggilan video pornografi dan langganan perkhidmatan seks melalui media sosial.

"Bagi tawaran langganan seks, suspek akan meminta mangsa melakukan pembayaran tertentu sebagai pendahuluan sebelum kemudiannya meminta pembayaran tambahan.

"Sekiranya mangsa enggan mengikuti arahan yang diberikan, suspek mengugut untuk mencederakan mangsa dengan mengirimkan gambar atau video.

"Selain itu, suspek juga akan memuat naik gambar mangsa di media sosial dan mengugut akan menyebarkan. Mangsa yang ketakutan akan mengikuti semua arahan suspek sehingga mereka mengalami kerugian besar," katanya hari ini.

Dalam kes panggilan video lucah, Soffian berkata suspek akan membuat panggilan video menggunakan wanita yang sanggup melakukan aksi lucah.

"Ketika melakukan perbuatan itu, wanita itu meminta mangsa untuk bertelanjang dan merakam panggilan video berkenaan tanpa disedari mangsa.

"Suspek akan menggunakan rakaman itu untuk mengugut mangsa dengan mengatakan akan menyebarkannya di media sosial jika enggan membuat bayaran.

"Suspek akan terus menghubungi mangsa menggunakan beberapa nombor telefon tempatan atau asing yang berbeza bertujuan mengugut dan menakut-nakutkan mangsa," katanya.

Soffian berkata, suspek menggunakan beberapa kaedah untuk mangsa melakukan pembayaran seperti pembelian Razer Gold, pemindahan wang dalam talian atau PayPal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut, Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan untuk tujuan pemerasan dan Seksyen 233 Akta Kesalahan Multimedia dan Komunikasi 1998.

"Polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan aplikasi dalam talian dan jangan terpedaya dengan tawaran perkhidmatan seks atau langganan urut dalam talian.

"Orang ramai juga seharusnya tidak bersikap tidak senonoh ketika membuat panggilan video dengan individu yang tidak dikenali untuk mengelakkan menjadi mangsa sindiket," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 7:18 PM