PEMANDU kereta nyaris maut apabila bongkah batu sebesar tiga pemeluk dewasa bergolek dari atas bukit. FOTO TULAR
PEMANDU kereta nyaris maut apabila bongkah batu sebesar tiga pemeluk dewasa bergolek dari atas bukit. FOTO TULAR
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pemandu kereta nyaris maut apabila bongkah batu bergolek dari atas bukit sebelum menghentam keretanya di Jalan Tun Sardon menghala Paya Terubong di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, batu sebesar tiga pemeluk dewasa itu jatuh merentangi jalan raya dan turut menghalang sebahagian laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.36 petang berhubung kejadian itu.

Katanya, pasukan dari Balai Polis Ayer Itam bergegas ke tempat kejadian.

"Ketika di lokasi didapati bongkah batu besar jatuh merentangi jalan raya sekali gus menghalang laluan.

"Kejadian itu tidak membabitkan nyawa namun kereta jenis Hyundai Sonata yang dipandu lelaki berusia 47 tahun mengalami kerosakan teruk di bahagian kiri," katanya di sini, hari ini.

Soffian berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya sudah melakukan pembersihan termasuk mengalihkan bongkah batu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 8:30 PM