GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima kluster baharu yang dilaporkan di Sabah, Selangor dan Negeri Sembilan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Sakti yang dilaporkan di Lahad Datu, Sabah.

"Kes indeks kluster ini dikenal pasti melalui hasil saringan di tempat kerja pada 5 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti 17 lagi kes positif. Sehingga jam 12 tengah hari, seramai 154 individu disaring dengan 18 kes positif, 101 individu negatif dan 35 individu masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Tuguson yang dilaporkan di Kota Belud, Sabah.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu dua individu didapati positif hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Kota Belud.

"Saringan kontak rapat dilakukan mendapati 17 lagi kes positif. Seramai 146 individu disaring dengan 18 kes dikesan positif dan 128 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Menurutnya, Kluster Bah Medan yang dilaporkan di Sepang, Selangor dengan kes indeks dikenal pasti positif melalui hasil saringan pulang dari Sabah pada 3 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti 19 lagi kes positif yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Seramai 52 individu disaring dengan 20 kes dikesan positif dan 32 individu masih menunggu keputusan.

"Kluster keempat iaitu Kluster Taman Laut dilaporkan di Petaling, Selangor dengan kes indeks bagi kluster ini adalah hasil saringan individu bergejala pada 21 Oktober lalu yang kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat dilakukan mendapati lima lagi kes positif bagi kluster ini. Seramai 123 individu disaring dengan enam kes dikesan positif, 18 individu negatif dan 99 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Katanya, kluster kelima pula adalah Kluster Taman Bunga yang dilaporkan di Seremban, Kuala Pilah dan Jelebu, Negeri Sembilan.

"Kes indeks kluster dikenal pasti melalui hasil saringan individu bergejala pada 25 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti 22 lagi kes positif. Sehingga jam 12 tengah hari, seramai 55 individu disaring dengan 23 kes positif, 25 lagi negatif dan tujuh masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 7:28 PM