Isma Ismail dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) meluluskan bagi pelantikan sejumlah 1,223 calon baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lantikan itu adalah 624 Jururawat Gred U29, 336 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29, 213 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U29 dan 50 Juruteknologi Makmal Perubatan Gred U29.

Menurutnya, selaras dengan kelulusan itu, Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan surat tawaran pelantikan kontrak kepada calon yang berjaya, Isnin ini dengan tarikh melapor diri bertugas ditetapkan, Rabu ini.

ANTARA petugas barisan hadapan KKM yang merawat pesakit Covid-19 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas pada 17 Oktober lalu. FOTO arkib NSTP
ANTARA petugas barisan hadapan KKM yang merawat pesakit Covid-19 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas pada 17 Oktober lalu. FOTO arkib NSTP

"Daripada sejumlah 624 pelantikan Jururawat Gred U29 yang diluluskan, sebanyak 317 Jururawat Gred U29 akan ditempatkan di negeri Sabah, manakala 18 lagi akan ditempatkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

"Kebanyakannya terdiri daripada anak kelahiran tempatan.

"Kementerian Kesihatan berharap dengan pertambahan petugas kesihatan itu akan dapat memperkukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan di negeri-negeri yang berkenaan, khususnya di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:17 PM