BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) dan Putrajaya melaksanakan solat hajat dan doa selamat, susulan penularan Covid-19.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, solat hajat itu disaran diadakan selepas solat Maghrib selama tiga hari bermula esok serta selepas Solat Jumaat pada Jumaat ini, bertujuan memohon kepada Allah supaya penularan pandemik ini dapat diatasi segera.

"JAWI menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di atas titah perintah supaya semua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah, supaya penularan wabak Covid-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 4:02 PM