Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Duduk bersila di atas katil lama sambil mencedok lauk pauk dan membungkus nasi adalah pemandangan tidak asing di kedai nasi berlauk di Jalan Yaakobiah, Cabang Empat Bayam, di sini.

Pemandangan sebegitu sudah dilihat sejak lebih 50 tahun lalu dan tradisi jualan sedemikian diteruskan sehingga ke pemilik kelima daripada susur galur keluarga Mohd Amir Mohd Azrul, 34.

Sejak dibuka semula dua bulan lalu selepas tidak beroperasi kira-kira setahun disebabkan bertukar pemilik serta pandemik Covid-19, Mohd Amir berkata, kini premis dikenali Kedai Nasi Katil itu diusahakannya bersama isteri, Wan Nur Asyikin Wan Zulkifli, 32.

Mohd Amir berkata, walau sudah bertukar ramai pemilik, pelanggan tetap yang mengunjungi kedai itu sejak diusahakan arwah neneknya disusuli ibu saudara seterusnya sepupu masih datang menjamu selera di situ.

Katanya, kedatangan pelanggan baharu pula disebabkan katil lama digunakan sebagai tempat letak nasi dan lauk pauk yang menjadi tarikan.

"Katil milik arwah nenek ini dianggarkan sudah lebih 60 tahun dan keputusan menggunakannya sebagai tempat letak jualan disebabkan dia dulu berniaga nasi berlauk.

"Oleh kerana tiada meja besar, arwah datuk memutuskan agar katil ini digunakan dan ia berterusan sehingga ke hari ini," katanya.

Mohd Amir yang sebelum ini berkhidmat di Pos Malaysia, Kuala Lumpur mengambil keputusan berhenti kerja dan kembali ke kampung halaman kerana ingin meneruskan perniagaan kedai makan berkenaan bersama isteri yang juga berpengalaman dalam bidang masakan.

Katanya, bagi mengekalkan keaslian jenama Kedai Nasi Katil, isterinya belajar memasak menggunakan resipi asal daripada ibu saudaranya yang sudah uzur dengan menyediakan pelbagai juadah antaranya gulai darat ayam kampung, gulai ikan, kerutub ayam dan ayam kampung goreng.

WAN Nur Asyikin bersila di atas katil lama sambil mencedok lauk pauk dan membungkus nasi pelanggan di Kedai Nasi Katil diusahakan bersama Mohd Amir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
WAN Nur Asyikin bersila di atas katil lama sambil mencedok lauk pauk dan membungkus nasi pelanggan di Kedai Nasi Katil diusahakan bersama Mohd Amir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 12:50 PM