KKM menambah kapasiti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Ringan Covid-19 (PKRC) kepada 11,076 katil berbanding 6,795 katil. FOTO BERNAMA
KKM menambah kapasiti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Ringan Covid-19 (PKRC) kepada 11,076 katil berbanding 6,795 katil. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah kapasiti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Ringan Covid-19 (PKRC) kepada 11,076 katil berbanding 6,795 katil pada 6 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah itu termasuk 3,505 katil di 43 hospital Covid-19 dan 7,571 katil di 46 PKRC seluruh negara.

Berbanding 6 Oktober lalu, katanya, terdapat 2,820 katil di hospital dan 3,975 katil di PKRC.

"Kadar penggunaan katil Covid-19 di seluruh negara kini masih terkawal pada 45 peratus di hospital dan 37 peratus di PKRC.

"Jumlah kes aktif hari ini adalah 6,323 kes, manakala kes sembuh 245 kes. Khusus di Sabah, KKM juga sudah menyediakan katil khusus Covid-19 sebanyak 5,276.

"Ini adalah peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding bilangan katil pada 5 Oktober lalu dan ini usaha memastikan kesiapsiagaan adalah pada tahap optima di negeri itu," katanya semalam.

Menurutnya, sebanyak 16 PKRC kini sedia untuk beroperasi.

Bagi meningkatkan kesiapsiagaan di Sabah juga, katanya, KKM melaksanakan mobilisasi petugas kesihatan ke hospital, klinik kesihatan, pejabat kesihatan daerah dan juga petugas lapangan.

"Mobilisasi ini termasuk 140 pegawai perubatan dan 225 Penolong Pegawai Perubatan.

"KKM juga bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan untuk menyediakan Hospital Medan yang menempatkan 100 katil, membawa sampel ujian Covid-19 ke Semenanjung dan menerbangkan 75,000 kit ujian RTK-Antigen serta pelbagai peralatan ke Sabah," katanya.

Dalam pada itu katanya, ketika membuat analisis dan perancangan strategik yang pragmatik, KKM tidak semata-mata menggunakan titik R-naught (kebolehjangkitan).

Sebaliknya, Dr Adham berkata ia dibuat secara komprehensif oleh pakar KKM di pelbagai peringkat yang meneliti semua aspek berkaitan termasuk kadar kebolehjangkitan, kadar kematian, kadar penggunaan katil, ciri-ciri kluster dan nilai korelasi spatio.

"Kesihatan dan keselamatan nyawa menjadi keutamaan kerajaan dan KKM akan terus mempertingkatkan usaha bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan usaha membendung Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 7:42 PM