Polis melakukan pemantaun bagi memastikan orang ramai di Pulau Pangkor mematuhi SOP. FOTO IHSAN POLIS
Polis melakukan pemantaun bagi memastikan orang ramai di Pulau Pangkor mematuhi SOP. FOTO IHSAN POLIS
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Ada yang memberi alasan terlupa mahu mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera dan ada pula mendakwa tidak tahu perlu mengimbas di aplikasi itu di sekitar Pulau Pangkor, di sini, semalam.

Itu alasan yang diberikan 12 individu termasuk pelancong yang dikompaun atas kesalahan itu walaupun negara berada dalam norma baharu sejak lebih setahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Mereka dikompaun ketika pemeriksaan dilakukan di kedai makan, premis beli-belah dan lokasi pelancongan sekitar pulau bebas cukai itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya melakukan Op Covid-19 Khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 bermula 10 pagi hingga 4 petang.

Katanya, ia bagi memastikan semua pengunjung mematuhi SOP yang masih berkuat kuasa sekali gus melakukan pemantauan rapi di semua lokasi peranginan, tumpuan orang ramai dan premis yang berada di kawasan tumpuan pengunjung.

"Sebanyak 12 kompaun dikeluarkan kerana gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera dengan ada yang memberi alasan lupa dan tidak tahu (perlu) untuk mengimbas di aplikasi berkenaan.

"Polis turut mengeluarkan tiga kompaun kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam. Keseluruhan kompaun dikeluarkan bernilai RM23,000 kepada 15 individu membabitkan sembilan lelaki dan enam wanita berusia antara 21 hingga 62 tahun," katanya ketika dihubungi.

Nor Omar berkata, orang ramai dinasihatkan untuk terus kekal mematuhi SOP sekali gus melaksanakan kawalan kendiri sebaik mungkin dalam menghadapi cabaran penularan virus itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 12:40 PM