ANTARA barangan yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
ANTARA barangan yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Bekas banduan ditahan polis, semalam apabila cubaannya untuk memecah masuk beberapa rumah dan kenderaan di sekitar Sungai Karangan, di sini gagal membuahkan hasil.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan pada 2 petang selepas dia gagal memecah masuk rumah di Taman Desa Cinta Sayang, kelmarin.

Beliau berkata, suspek itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di Jalan Estate Padang Meha, Sungai Karangan, di sini.

"Berdasarkan laporan yang diterima daripada mangsa lelaki berusia 34 tahun, suspek dikatakan memakai topi dan pelitup muka serta jaket itu cuba memanjat pagar rumahnya dan masuk ke kawasan rumah itu pada 9.45 pagi, Isnin lalu.

"Suspek tidak menyedari perbuatannya dirakam kamera rakaman litar tertutup (CCTV) rumah berkenaan yang menunjukkan suspek cuba membuka dua pintu kereta mangsa namun gagal kerana dua kenderaan itu berkunci," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, dalam rakaman CCTV itu juga, suspek dikatakan turut memanjat ke rumah sebelah namun dia gagal memperoleh sebarang hasil.

"Suspek yang menetap di kawasan Sungai Karangan, Padang Serai itu bekerja sebagai operator kilang.

"Berdasarkan siasatan, suspek mempunyai 12 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah sebelum ini," katanya.

Azhar berkata, hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai melakukan kegiatan memecah masuk rumah dan kenderaan itu sejak dua bulan lalu.

"Suspek juga mengaku melakukan modus operandi sama di tujuh rumah lain di kawasan Sungai Karangan namun semua cubaan itu tidak berjaya.

"Suspek ditahan berdasarkan pengecaman identitinya yang dirakam CCTV dan akan direman hari ini untuk membantu siasatan," katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 11:53 AM