Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Lima lagi kluster baharu berkaitan jangkitan Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan membabitkan dua di Sabah dan masing-masing satu kluster di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sarawak serta Labuan.

Menurutnya, Kluster Tujuh Serangkai dikenal pasti di Tuaran, Sabah yang sudah menjangkiti 23 individu dengan kes indeks bagi kluster ini (kes ke-11,569) didapati positif hasil saringan bergejala pada 5 Oktober (Isnin) lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

"Setakat 12 tengah hari ini, seramai 325 individu disaring dalam kluster itu dan 22 lagi individu didapati positif manakala baki masih menunggu keputusan.

"Satu lagi kluster dikenal pasti di Tawau, Sabah dikenali Kluster Tanamera.

"Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-12,868) didapati positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 29 September lalu dan dimasukkan ke Hospital Tawau. Saringan kontak rapat mengesan lapan lagi kes positif," katanya dalam sidang media hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Noor Hisham berkata, satu kluster dikenal pasti di Lembah Pantai.

Beliau berkata, kes indeks bagi kluster ini (kes ke-14,265 dan 14,266) dikesan positif Covid-19 pada hari ini hasil saringan bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, saringan kontak rapat mengesan enam lagi kes positif manakala tujuh individu masih menunggu keputusan.

Di Sarawak pula, beliau berkata, KKM mengenal pasti Kluster Bah Arnab di Kuching yang menjangkiti empat individu.

Menurutnya, kes indeks bagi kluster ini (kes ke-13,488) didapati positif Covid-19 pada semalam hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Katanya, kluster terakhir dikesan di Labuan iaitu Kluster Bah Bangat.

"Kes indeks kluster ini (kes ke-12,377) dikesan positif Covid-19 pada 3 Oktober hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah). Saringan kontak rapat mengesan lapan lagi kes positif. Mereka dimasukkan ke Hospital Labuan untuk rawatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 7:18 PM