ANGGOTA bomba melakukan proses sanitasi di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
ANGGOTA bomba melakukan proses sanitasi di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sudah melakukan 14 sanitasi dalam tempoh lima hari bermula awal Oktober lalu susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Pengarahnya Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, sanitasi awam itu dilakukan untuk membersihkan kawasan berisiko penularan Covid-19.

Katanya, lapan sanitasi dilakukan di daerah Kuala Nerus dengan tiga buah sekolah ditutup manakala selebihnya dua di Besut dan Dungun serta masing-masing satu di Kuala Terengganu dan Kemaman.

"Kita juga akan memantau serta membuat proses sanitasi berulang khususnya di kawasan yang berisiko dalam tempoh 14 hari dalam usaha mencegah penyebaran Covid-19," katanya ketika ditemui di pejabat JBPM di sini.

Md Hilman berkata, pihaknya sudah melakukan sebanyak 1,044 sanitasi sejak penularan Covid-19 pada Mac lalu.

Katanya, proses sanitasi dilakukan di kawasan sekolah, pusat kuarantin, tadika, pasar raya, pasar awam dan kawasan atau bangunan yang dikenal pasti mempunyai jangkitan.

"Kita percaya proses sanitasi akan meningkat sepanjang Oktober ini membabitkan beberapa premis di negeri ini susulan peningkatan kes Covid-19," katanya.

Ketika ditanya jika terdapat pegawai atau anggota JBPM disahkan positif Covid-19, Md Hilman berkata, setakat ini, tiada anggota dan pegawai dikesan positif Covid-19 sepanjang berada di lokasi yang berisiko.

"Setiap pegawai dan anggota sentiasa diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menjalankan proses berkenaan bagi mengelak dijangkiti wabak ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 10:42 AM