GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Seramai 11 pengamal media di Kelantan hari ini menjalani 'swab test' Covid-19 susulan disyaki mempunyai kontak dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Semua petugas media membuat liputan Program Hari Terbuka Yadim yang dirasmikan Zulkifli di Dewan Jubli Perak, di sini, pada 25 September lalu iaitu sehari selepas beliau pulang dari Sabah.

Petugas media menjalani ujian saringan itu di Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, dekat sini.

Mereka yang terbabit dari Bernama, Bernama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Hijrah, NSTP, Sinar Harian dan Harakah.

Kesemua pengamal media berkenaan dinasihatkan oleh pegawai kesihatan yang bertugas untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga keputusan ujian calitan Covid-19 dikeluarkan dalam tempoh 24 jam.

Wartawan daripada TV Al-Hijrah, Chia Chee Lin berkata, dia agak terkejut apabila dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) didapati positif Covid-19.

"Memandangkan saya dan rakan membuat liputan pada majlis dihadiri beliau pada 25 September, kami semua mengambil pendekatan awal untuk hadir ke Klinik Kesihatan bagi menjalani swab test.

"Walaupun tiada tanda-tanda demam atau batuk, kami tetap hadir ke sini bagi menghilangkan kerisauan," katanya.

Semalam, Zulkifli mengesahkan beliau positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan di hospital.

Beliau turut menyeru orang ramai yang hadir majlis membabitkan kehadirannya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 dengan segera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 3:16 PM