ZULKIFLI. FOTO Bernama
ZULKIFLI. FOTO Bernama
Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 90 individu disaring termasuk semua ahli mesyuarat yang hadir pada mesyuarat Jabatan Perdana Menteri (JPN) dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 3 Oktober lalu didapati negatif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, pejabat kesihatan daerah berkaitan dalam proses mengenal pasti kontak rapat dan menjalankan penilaian risiko serta saringan.

Menurutnya, setakat ini, keadaan Zulkifli stabil dan sehingga jam 12 tengah hari ini seramai 90 individu yang mempunyai kontak dengan beliau disaring.

"Mereka semua didapati negatif termasuk semua ahli mesyuarat yang hadir mesyuarat JPN pada 3 Oktober lalu.

"Pejabat kesihatan daerah akan terus menjalankan proses mengenal pasti kontak lain," katanya pada sidang media Covid-19 hari ini.

Portal MyMetro semalam melaporkan Zulkifli mengesahkan beliau kini menerima rawatan selepas disahkan positif Covid-19.

Beliau menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang membabitkan kehadirannya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di klinik kesihatan dengan segera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 6:42 PM