Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan.
BERNAMA

Tapah: Konvensyen MIC yang sepatutnya berlangsung di seluruh negara bermula hari ini sehingga 8 Oktober depan ditangguhkan serta-merta berikutan penularan wabak Covid-19 yang kini membimbangkan.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan berkata, presiden parti, Tan Sri SA Vigneswaran mengeluarkan arahan mengenai perkara berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang begitu ketara.

"Hari ini, sepatutnya konvensyen MIC berlangsung di Perak, Kedah dan Perlis tetapi ia ditangguhkan. Kesemua mesyuarat di peringkat negeri dan pusat turut ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian," kata Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Penjana Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) Pembangunan B40 Kursus Asas Jahitan Pengenalan dan Kursus Penggunaan Mesin Jahit Tepi di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan semua mesyuarat serta persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian Umno ditangguhkan susulan peningkatan kes Covid-19 berkuat kuasa serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 4:14 PM