DATUK Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang akan dilupuskan. FOTO Asrol Awang
DATUK Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang akan dilupuskan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Polis Pahang melupuskan pelbagai jenis dadah membabitkan kes dari 2000 hingga 2019 bernilai RM1.823 juta, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pelupusan dadah itu membabitkan kes di 11 daerah di seluruh Pahang sejak 2000.

Beliau berkata, antara dadah dilupuskan ialah syabu, heroin, ketamin, ekstasi, ganja, air ketum, daun ketum dan ubat batuk.

"Nilai rampasan pelbagai jenis dadah mengikut harga semasa berjumlah RM1.823 juta.

"Bagi mematuhi kehendak piawaian alam sekitar, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang memutuskan menggunakan khidmat syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd yang mempunyai peralatan dan kepakaran dalam urusan pelupusan barangan berjadual," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelupusan barang kes dadah JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, seramai 312 orang berumur antara 23 dan 63 tahun ditahan dalam Ops Sarang Khas dilakukan JSJN Pahang di seluruh negeri pada 21 hingga 23 September lalu.

Katanya, mereka ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lapan tempat penagihan dadah turut digempur.

"Daripada jumlah itu, seramai 144 termasuk tujuh wanita didapati positif dadah selepas ujian saringan dilakukan.

"Dalam operasi itu, kami turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin, syabu, pil yaba, ganja bernilai RM15,079," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 3:35 PM