Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Tidak seperti rakan sebaya lain, Danial Faiq Rizqin Mohammad Hasanin hanya mampu terbaring sepanjang masa dan tidak boleh bercakap selain kedua-dua belah matanya tidak dapat melihat.

Ibunya, Nor Lyana Atikah Mohamed, 21, berkata anak tunggalnya berusia tiga tahun tujuh bulan itu menderita penyakit saraf dan paru-paru sejak lahir menyebabkan Danial Faiq Rizqin dirawat di di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) selama hampir dua bulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Menurutnya, keadaan anaknya itu menyebabkan dia tidak pernah meninggalkan Danial Faiq Rizqin sendirian kerana bimbang diserang sawan pada bila-bila masa dan bergantung sepenuhnya kepada 15 jenis ubat setiap hari.

"Walaupun anak saya hampir mencecah usia empat tahun, namun fizikal dimilikinya tidak ubah seperti seorang bayi dengan berat badannya hanya enam kilogram dan setiap sebulan sekali perlu berjumpa pakar di HRPZ II untuk mengetahui perkembangannya.

"Anak saya perlu minum susu khas sebagai makanan harian sebanyak enam kali sehari iaitu setiap empat jam melalui tiub dipasangkan di perutnya ketika berusia setahun," katanya ketika ditemuinya di Kampung Padang Bembam, Melor, di sini, baru-baru ini.

NOR Lyana bersama Danial Faiq Rizqin yang menderita penyakit saraf dan paru-paru sejak lahir. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
NOR Lyana bersama Danial Faiq Rizqin yang menderita penyakit saraf dan paru-paru sejak lahir. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Terdahulu, dia menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) diketuai Akidi Hamid yang turut menyampaikan sumbangan kewangan selain lampin pakai buang, susu khas dan beg susu bagi meringankan beban ditanggung.

Nor Lyana Atikah berkata, selepas berpisah dengan bekas suaminya pada Julai tahun lalu, dia kini perlu menjaga Danial Faiq Rizqin sendirian dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan untuk membeli barang keperluan anaknya.

Katanya, pada setiap bulan dia perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1,000 termasuk susu khas berharga RM162 setin yang mampu bertahan selama dua minggu selain lampin pakai buang dan beg susu.

"Mujurlah Danial Faiq Rizqin memperoleh bantuan daripada JKM yang dapat meringankan beban untuk menampung keperluan membeli barang keperluannya setiap bulan.

"Tugas menjaga Danial Faiq Rizqin bukan bebanan dan saya tetap mempunyai impian melihatnya membesar seperti kanak-kanak lain, walaupun sedar ketika ini dia hanya mampu berbaring di atas tilam," katanya.

Sementara itu, Akidi berkata, hatinya tersentuh tatkala melihat keadaan Danial Faiq Rizqin yang tidak ubah seperti bayi dengan keadaan fizikalnya yang kecil.

"Bagi membantu meringankan beban ditanggung, KELSS melancarkan Tabung Untukmu Sayang pada minggu lalu untuk meminta sumbangan daripada orang ramai.

"Alhamdulillah, sikap dermawan dan keprihatinan rakyat Malaysia, dalam tempoh lima jam kami berjaya mengutip sumbangan melebihi RM5,000 yang digunakan sepenuhnya untuk membeli barang keperluan Danial Faiq Rizqin selain memberi sumbangan kewangan," katanya.

Orang ramai yang ini menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun bersama Bank Simpanan Nasional (BSN), 03014-41-00015352-6 atas nama Nor Lyana Atikah Mohamed atau boleh menghubunginya di talian 010-7935972.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 11:50 AM