Siti Rohana Idris


Tumpat: Tugas seorang ibu tunggal menguruskan anak menghidap Sindrom Down dan hiperaktif semakin sukar apabila dia diserang strok sebelah tubuh, sejak sebulan lalu.

Berikutan serangan penyakit itu, pergerakan Roslina Hassan, 42, semakin terhad dan tidak dapat menjaga anak tunggalnya, Muhammad Iman Mukmin Zulkifli, 5, seperti biasa.

Roslina yang lumpuh di bahagian kiri tubuhnya kini hanya mampu mengusap dan melihat Iman diuruskan seorang penjaga diupah kerana dia tidak berdaya dan hanya mengengsot untuk bergerak selain menggunakan kerusi roda.

"Menguruskan Iman bukan satu tugas mudah kerana dia hiperaktif dan saya terpaksa meletaknya di dalam katil bayi bagi menghalangnya keluar hingga ke jalan raya.

"Pada awal diserang strok, Iman diuruskan ayah saya, namun disebabkan dia sudah uzur, saya mencari pengasuh sekitar rumah dan mengupahnya untuk menguruskan Iman dan saya sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chenderong Kubu, di sini, semalam.

Roslina berkata, pengasuh itu, Ummu Habibah Che Mat, 34, diberi upah RM15 sehari dan tugasnya bermula 7 pagi hingga 1 tengah hari sebelum menyambung kerja di sebuah kedai makan tidak jauh dari situ.

Roslina yang sebelum ini pernah bekerja sebagai pembantu di tadika swasta di Pasir Mas terpaksa berhenti kerja kerana sering mengambil cuti disebabkan Iman kerap dimasukkan ke hospital.

 Roslina Hassan, 42, (tudung oren) yang lumpuh di bahagian kiri tubuhnya akibat diserang strok sebelah tubuh sejak sebulan lalu menyebabkan anak tunggalnya, Muhammad Iman Mukmin Zulkifli, 5, tidak dapat diuruskan, hanya mampu  diuruskan seorang penjaga yang diupahnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chenderong Kubu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Roslina Hassan, 42, (tudung oren) yang lumpuh di bahagian kiri tubuhnya akibat diserang strok sebelah tubuh sejak sebulan lalu menyebabkan anak tunggalnya, Muhammad Iman Mukmin Zulkifli, 5, tidak dapat diuruskan, hanya mampu diuruskan seorang penjaga yang diupahnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chenderong Kubu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Selepas lahir, Iman bukan sahaja mengalami Sindrom Down dan hiperaktif, malah menghidap paru-paru kronik menyebabkan dia sering dimasukkan ke wad.

"Saya pula mengalami masalah injap jantung bocor sejak lima tahun lalu menyebabkan mudah letih dan hanya bertahan dengan pengambilan ubat," katanya yang sudah bercerai sejak empat tahun lalu.

Roslina berkata, kelangsungan hidup mereka tiga beranak termasuk bapa, Hassan Ali, 75, bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima Iman sebanyak RM500 sebulan selain sumbangan jiran dan sanak saudara yang datang melawat.

Selain untuk sara hidup, Roslina perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk susu khas Iman serta lampin pakai buang untuk anaknya dan diri sendiri.

"Alhamdulillah, setakat ini kami belum lagi terputus sumber kewangan dalam menyediakan keperluan ini kerana selalu ada bantuan muncul.

"Baru-baru ini, badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) hadir menyumbangkan susu khas dan lampin pakai buang untuk kami bagi tempoh 10 bulan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Roslina boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional miliknya iaitu 03008-41-00013709-0 atau Bank Islam 0302 7020 8897 34.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 5:36 PM