SATU daripada bangunan sarang burung yang pernah dipecah masuk suspek. FOTO Ihsan Polis.
SATU daripada bangunan sarang burung yang pernah dipecah masuk suspek. FOTO Ihsan Polis.
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Penahanan seorang lelaki di Pulau Pinang, kelmarin sekali gus menumpaskan Geng Curi Sarang Burung Ah Tiong yang aktif sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek berusia 38 tahun itu diberkas pasukannya di sebuah kedai serbaneka terletak di Seberang Perai Tengah pada 9.30 malam dan kini dalam tahanan reman sehingga Isnin.

Katanya, lelaki itu yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Sebelum ini dia diburu kerana memecah sebuah premis di kawasan pasar di Jalan Suria di sini.

"Polis mengesannya bersama rakan pada jam 2 pagi, 15 September lalu tetapi dia sempat melarikan diri apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Kampung Baru, Bukit Mertajam.

"Ketika itu, rakannya sahaja berjaya ditahan dan susulan maklumat serta risikan, suspek akhirnya dapat diberkas kelmarin (Khamis)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, dalam siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam tujuh kes kecurian sarang burung di sekitar daerah ini di bawah Geng Curi Sang Burung Ah Tiong.

Katanya, suspek juga dikehendaki berhubung kes kecurian kenderaan di Sungai Petani, sebelum ini, selain mempunyai rekod jenayah dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 12:22 PM