Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Kinabalu: Pemantapan sektor pendidikan khususnya perkampungan air seperti Pulau Gaya antara agenda bagi melonjakkan nilai pasaran sumber manusia Sabah.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Rizawani Fiona Heng berkata, masih ada lagi masyarakat yang mengambil ringan tentang ilmu pengetahuan sehingga mengabaikannya.

Beliau berkata, pengalaman terbabit sektor pendidikan awal kanak-kanak menjadikan ibu kepada lima cahaya mata ini mementingkan ilmu khususnya kepada generasi muda.

"Dengan ilmu pengetahuan kita dapat membangunkan negeri kerana adanya generasi muda yang berpotensi memacu Sabah menjadi lebih baik.

"Generasi muda tidak perlu berpusu-pusu mencari peluang pekerjaan di luar Sabah seterusnya dapat membangunkan bersama ekonomi negeri ini," katanya kepada NSTP, di sini.

RIZAWANI Fiona (tengah) ketika berkempen di Kampung Lok Urai di Pulau Gaya. FOTO Arkib NSTP
RIZAWANI Fiona (tengah) ketika berkempen di Kampung Lok Urai di Pulau Gaya. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, sebagai antara calon wanita yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, beliau mahu memaksimumkan pembabitan wanita dalam ekonomi.

Katanya, peranan wanita perlu diperkasakan supaya golongan ini turut terbabit dalam melonjakkan sektor ekonomi.

"Sebagai calon wanita, saya mahu peranan wanita diperkasakan dan membantu meningkatkan sumber pendapatan sendiri sekali gus melonjakkan ekonomi negeri," katanya.

Selain itu, Rizawani berkata, hasratnya juga untuk merangka satu pelan strategik untuk membangunkan infrastruktur Tanjung Aru agar tidak terlepas dari suntikan pembangunan.

Tambahnya, kedudukan Tanjung Aru yang sangat hampir dengan bandar utama Kota Kinabalu perlu digunakan untuk membangunkan sektor pelancongan setanding dengan kawasan tumpuan lain.

"PGRS bukan hanya buat kerja ketika PRN saja tetapi berterusan demi memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa dari pelbagai sudut," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 5:34 PM