Balqis Jazimah Zahari


Gopeng: Tiada sebarang petunjuk baru ditemui ketika Latihan Pengoperasian Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) di sepanjang 25 kilometer trek dilalui peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau lebih dikenali Acap yang hilang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu berkata, latihan jalan lasak menerusi simulasi Latihan Pengoperasian SAR Acap Trail yang dijalankan semalam adalah usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjejaki kehilangan Acap yang hilang lebih setahun lalu.

"Kita berjaya menamatkan latihan operasi jalan lasak sejauh 25 kilometer melalui 'trail' yang dilalui oleh Acap.

"Namun dukacita kita tidak dapat sebarang petunjuk yang boleh membantu bagi meneruskan usaha untuk membuat pencarian selanjutnya," katanya kepada pemberita ketika menyertai Latihan Pengoperasian Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tahun 2020 Peringkat Zon Utara bagi sesi simulasi SAR Gua Tempurung, hari ini.

Mohd Yunus berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menutup kes dan pelbagai usaha dilakukan jabatan bagi mengesan petunjuk baru.

"Kita bersedia untuk sebarang maklumat daripada orang awam atau masyarakat setempat sekiranya terdapat sebarang petunjuk yang boleh membantu kita meneruskan pencarian Acap," katanya.

Semalam portal MyMeto melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Latihan Pengoperasian STORM meneruskan usaha mencari jejak Acap.

Sementara itu, Mohd Yunus berkata, Latihan Pengoperasian SAR Gua Tempurung hari ini membabitkan simulasi operasi dan menyelamat di kawasan tumpuan utama pengunjung itu.

"Operasi ini membabitkan simulasi bagaimana sekiranya terdapat pengunjung di dalam Gua Tempurung terperangkap akibat runtuhan atau berlakunya kepala air.

"Pelbagai teknik yang kita gunakan iaitu melalui kawasan sempit, memecahkan batu bagi membuat laluan masuk untuk mengeluarkan mangsa selain menggunakan teknikal bagi menyelamatkan mangsa yang jatuh ke dalam gaung yang berada di dalam gua ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 2:54 PM
TAKLIMAT Latihan Pengoperasian STORM Peringkat Zon Utara bagi sesi latihan simulasi SAR Gua Tempurung. FOTO Balqis Jazimah Zahari
TAKLIMAT Latihan Pengoperasian STORM Peringkat Zon Utara bagi sesi latihan simulasi SAR Gua Tempurung. FOTO Balqis Jazimah Zahari