Muhammad Izzat Azra memuatkan petai dalam kereta bapanya untuk dijual disekitar Kampung Limau Kasturi dan Bandar Gua Musang untuk menyimpan wang bagi perbelanjaan masuk univerlsiti tahun depan. FOTO RAMLI IBRAHIM
Muhammad Izzat Azra memuatkan petai dalam kereta bapanya untuk dijual disekitar Kampung Limau Kasturi dan Bandar Gua Musang untuk menyimpan wang bagi perbelanjaan masuk univerlsiti tahun depan. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Selepas adik menjaja petai untuk menampung belanja pendaftaran kemasukan ke universiti akhir tahun lalu, kini giliran abangnya pula melakukan perkara sama.

Ini kerana mereka yang berasal dari Kampung Limau Kasturi, dekat sini, tidak boleh bergantung kepada ibu bapa bagi menampung perbelanjaan berikutan kekangan kewangan dan adik beradik ramai.

Muhammad Izzat Azra Ibrahim, 22, berkata, ibu bapanya masih mempunyai tanggungan besar bagi menampung perbelanjaan sembilan adiknya yang bersekolah.

Menurutnya, dia baru tamat belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang di peringkat Diploma Perbankan dan akan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pula pada tahun depan.

Katanya, adiknya Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 21, menjaja petai pada tahun lalu sebelum mendaftar masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

"Ketika itu, saya menuntut di UiTM Machang dan bagi pendaftaran memasuki pengajian itu, ibu bapa terpaksa menjual seekor kambing RM2,500.

"Untuk sambung pengajian peringkat ijazah ini, saya tidak mahu lagi menyusahkan mereka berdua dan sanggup menjaja petai bersama emak," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Muhammad Izzat Azra berkata, masih ada masa untuk dia menyimpan wang sebelum mendaftar masuk ke universiti bagi pengajian peringkat ijazah tahun depan.

Katanya, ia akan menyambung pengajian dalam bidang perbankan kerana bercita-cita menjadi pegawai bank dan berhasrat membantu adik-beradik.

"Kami mempunyai 12 beradik dan kakak sulung berusia 24 tahun masih menganggur kerana belum mempunyai pekerjaan.

"Saya tidak kisah melakukan kerja kampung asalkan ia halal dan memberi hasil untuk menampung perbelanjaan," katanya.

Sementara itu, ibunya, Zubaidah Yusoff, 47, berkata, dia memuji sikap semua anaknya yang mudah membantunya menjaja petai dan hasil pertanian lain.

Menurutnya, dia bersama suami, Ibrahim Ismai, 57, sudah lama menjaja petai dan hasil pertanian lain yang dibeli daripada penduduk sekampung untuk dijual di bandar Gua Musang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 5:57 PM