Orang ramai tidak lepas peluang bagi membeli anak pokok musang king separuh harga pada program sempena Hari Malaysia di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM
Orang ramai tidak lepas peluang bagi membeli anak pokok musang king separuh harga pada program sempena Hari Malaysia di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli anak pokok durian Musang King (D197) yang dijual separuh harga di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Klawang, di sini, hari ini.

Program diadakan sempena Hari Malaysia itu membolehkan orang ramai membeli anak pokok durian berkenaan pada harga RM15 berbanding harga asal RM30.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Bakri Sawir berkata, ia habis dijual dalam tempoh satu jam sebaik jualan bermula pada 9.45 pagi.

Katanya, program turut bertujuan menggalakkan orang ramai menanam pokok durian sekali gus merancakkan peningkatan pengeluaran durian di daerah ini.

"Pada awalnya benarkan setiap individu membeli lima pokok seorang, namun apabila mendapat sambutan amat menggalakkan kita mengehadkan kepada tiga pokok seorang sahaja.

"Kita tidak menyangka ia mendapat sambutan luar biasa dan bercadang mengadakan jualan sama pada 29 Oktober depan di lokasi sama," katanya ditemui di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Pertanian Daerah Jelebu Roslan Harun.

Bakri berkata, pada program ini juga sebanyak 100 anak pokok durian Musang King dijual pada harga RM10 menerusi jualan istimewa.

Ia terhad kepada 50 orang ramai yang beratur awal, dengan 100 anak pokok ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 1:54 PM