GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Mereka dianggap `orang lama' berikutan sudah bergiat aktif mencuri kenderaan sejak 20 tahun lalu.

Kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Lim terbabit bagaimanapun dikesan muncul kembali apabila kali ini menyasarkan pacuan empat roda untuk dilarikan.

Kegiatan mereka di sekitar bandaraya ini bagaimanapun dilumpuhkan polis apabila tiga suspek lelaki tempatan berjaya diberkas polis pada 2 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, tiga suspek berusia 40-an ditahan di sekitar Seksyen 7 di sini, menerusi Ops Cegah Jenayah Bersepadu Khas.

"Geng penjenayah yang menyasarkan pacuan empat roda model Toyota Hilux itu berjaya ditahan susulan intipan dan risikan dilakukan sejak dua bulan lalu.

"Polis juga percaya kumpulan itu mula menjalankan aktiviti curi kenderaan sejak 20 tahun lalu. Mereka kembali aktif sejak dua bulan lalu," katanya tadi.

Beliau berkata, Toyota Hilux menjadi sasaran susulan ia mendapat permintaan tinggi bagi pasaran tempatan dan luar negara.

Katanya, kumpulan itu hanya mengambil masa tiga ke lima minit untuk mencuri sebuah kenderaan dengan menggunakan mesin pemutar skru dan beberapa peralatan lain.

"Mereka akan menutup sistem penggera kenderaan sebelum menukar unit kawalan elektronik (ECU) untuk menghidupkan enjin kenderaan," katanya.

Ramsay berkata, pihaknya turut merampas dua pacuan empat roda yang disyaki dicuri di sekitar daerah ini pada bulan Julai serta Ogos lalu selain mengesan saki baki ahli kumpulan itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata seramai 104 individu ditahan dalam operasi sama bermula 1 September sehingga kelmarin.

"Polis turut merampas 2,312 kotak rokok seludup, 1,146 botol dan 616 tin minuman keras pelbagai jenama dengan kesemuanya dianggarkan bernilai RM63,500," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 6:50 PM