NIK Amri bersama Tapey selepas dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan biri-biri cantik sempena Karnival Agro Al-Falah di pekarangan Pasar Kampung Laut, Tumpat. FOTO Syamsi Suhaimi.
NIK Amri bersama Tapey selepas dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan biri-biri cantik sempena Karnival Agro Al-Falah di pekarangan Pasar Kampung Laut, Tumpat. FOTO Syamsi Suhaimi.
Siti Rohana Idris


BIRI-BIRI baka Malin diberi nama ‘Tapey’ dinobatkan sebagai juara pertandingan biri-biri cantik sempena Karnival Agro Al-Falah di pekarangan Pasar Kampung Laut, Tumpat, hari ini.

Dalam pertandingan itu, Tapey menewaskan lapan biri-biri lain dalam kategori jantan dewasa.

Pemilik Tapey, Nik Amri Nasir, 46, berkata kemenangan Tapey yang berusia dua tahun setengah itu sudah dijangka kerana kerap menjadi juara dalam pertandingan sama sebelum ini.

“Hari ini adalah kemenangan kelapan buat Tapey dalam pertandingan sama di seluruh negeri.

“Selain Tapey, saya membawa seekor lagi biri-biri baka sama iaitu Kumbang Hitam Manis yang mendapat tempat kedua,” katanya.

Nik Amri yang menternak 70 biri-biri dan kambing susu berkata, Tapey dibeli pada dua tahun lalu dengan harga RM3,500 daripada seorang penternak di Bachok.

Menurutnya, penjagaan biri-biri ini tidak rumit dan sebagai persediaan untuk menghadapi pertandingan, dia memotong bulu di seluruh badan biri-biri ini 10 hari sebelum bertanding.

“Saya hanya membiarkan bulu di bahagian jambul dan dada sahaja bagi menunjukkan imej jantannya.

“Seluruh tubuhnya disapu pewarna rambut manakala tanduk pula diletakkan minyak kelapa untuk merapikan lagi penampilan biri-biri ini,” katanya.

Katanya, dia pernah ditawarkan RM5,000 untuk menjual Tapey, namun menolaknya dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 11:48 PM