Mohd Azree (tengah) tiba di pusat penamaan Dewan Sri SMK Bongawan, Papar pagi tadi. FOTO Juwan Riduan
Mohd Azree (tengah) tiba di pusat penamaan Dewan Sri SMK Bongawan, Papar pagi tadi. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Bongawan: Calon Parti Liberal Demokratik (LDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Mohd Azree Abd Ghani, tidak gentar berdepan tiga calon berpengalaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Mohd Azree, 29, berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Ag Lahap Ag Bakar @ Ag Syairin, Dr Daud Yusof dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Datuk Seri Anifah Aman dari Parti Cinta Sabah (PCS).

Menurutnya, sebagai calon muda, beliau mempunyai banyak perancangan untuk Bongawan ke arah lebih membangun berbanding sekarang.

"Saya sedar pihak lawan semua orang lama yang berpengalaman, lebih-lebih lagi Anifah pernah menjadi Menteri Luar ketika mewakili Parlimen Kimanis sebelum ini.

"Namun, banyak persoalan yang timbul, kenapa Bongawan masih agak ketinggalan, masalah jalan raya, perhubungan luar bandar belum memuaskan, begitu juga kemudahan lain seperti klinik.

"Jadi, inilah masanya rakyat Bongawan menukar kepemimpinan lama dengan orang muda. Sebagai orang baharu dalam politik, saya melihat tiada sebab kenapa Bongawan tidak boleh dimajukan," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Sri SMK Bongawan, hari ini.

Katanya, beliau juga tidak gentar berdepan dengan dua lagi lawannya, Dr Daud dan Ag Lahap, meskipun mereka mempunyai pertalian saudara dengannya.

Mohd Azree berkata, soal politik dan keluarga adalah berbeza kerana tali persaudaraan tidak akan putus walaupun apa pegangan politik atau parti yang diwakili dalam memperjuangkan nasib rakyat Bongawan.

"Saya hormat mereka, lebih-lebih lagi saya orang muda tapi tiada salahnya saya menawarkan khidmat kepada rakyat Bongawan untuk menjadi wakil yang menyuarakan hak dan kehendak mereka," katanya.

Beliau turut menegaskan, soal parti yang diwakilinya bukan menjadi ukuran kerana LDP juga adalah parti tempatan yang berasaskan pelbagai kaum.

Parti itu katanya sudah keluar daripada sistem BN yang sebelum ini mengatur hala tujunya dengan hanya memberikan LDP kerusi kawasan Cina untuk ditandingi.

Katanya, rakyat Bumiputera khususnya di Bongawan tidak perlu bimbang dengan LDP kerana kepemimpinannya di bawah bekas Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat sudah terbukti memberi kesan yang baik kepada Sabah.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi Bongawan supaya mengubah persepsi dan menyokong beliau sebagai wakil anak muda untuk membawa perubahan dengan cara baharu di kawasan berkenaan.

Mohd Azree antara 46 calon yang bertanding bagi mewakili LDP untuk DUN Bongawan.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 4:35 PM